TEKS PIDATO
NUKILAN WAN AL AZIM BIN W AZMAN
TAJUK : BUDI BAHASA BUDAYA KITA
Bismillahirrahmanirrahim………..........
Masih tersemat di kalbu petikan
kata-kata Perdana Menteri, Dato Sri Mohd Najib Tun Abd Razak yang berbunyi “kecemerlangan,
kegemilangan dan keterbilangan kita akan muncul, jika sekiranya kita menjadi
satu bangsa yang berpekerti mulia, berbudi tinggi dan berbahasa baik.”
Melati kuntum tumbuh melata,
Sayang merbah di pohon cemara,
Assalamualaikum mulanya kata,
Saya sembah pembuka bicara.
Apa
khabar? Ni how ma? Yapadi irukinggek? Salam Sejahtera, salam Perpaduan, dan
salam 1 Malaysia.
Bingkisan
barakah dan apresiasi dihulurkan buat peneraju acara, kombinasi respektatif
kehakiman teguh saksama, penjaga masa yang setia dengan detik-detik berharga
serta adiwangsa pencetus kulasentana arus kegemilangan negara. Dekat di
hati.......
Yang kurik yang kundi,
yang merah saga,
baik budi indahnya bahasa,
pantun lama tinggi kiasannya.
yang merah saga,
baik budi indahnya bahasa,
pantun lama tinggi kiasannya.
Begitulah proklamasi tajuk pidato saya yang menjadi wahana agenda
melebarkan minda menyusuri pidato saya yang berbunyi “BUDI BAHASA BUDAYA KITA”.
Hadirin
sidang saksi warga berintegriti,
Mauduk bicara hari ini sungguh
indah, ayuh kita telusuri dan hayati bersama agar segala yang menjadi persoalan
terjawab dan terungkai. Sebelum bibir mengatur bicara, sebelum saya mengorak
langkah, elok rasanya pemahaman menurut Kamus Dewan menjadi pembuka aula agenda
agar pemahaman kita menjadi jelas dan nyata. Menurut epistemologi Kamus Dewan, budi
ialah sifat baik dan perbuatan baik. Bahasa ialah percakapan atau tingkah laku
yang baik. Budaya pula bermaksud tamadun dan peradaban. Akhirnya, kita ialah
kata ganti diri orang yang bercakap. Secara konotasinya, aforisme Melayu ada
menyebut, orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa, cukup
sinonim dengan budi bahasa yang kita amalkan dalam kehidupan seharian. Kempen
Budi Bahasa Budaya Kita yang dilancarkan pada 11 Januari 2005 oleh Tun Abdullah
Ahmad Badawi merupakan agenda lima tahun kerajaan dalam misinya melahirkan
rakyat Malaysia yang berbudi bahasa. Memetik kata-kata Tun Abdullah Ahmad
Badawi, beliau menegaskan bahawa budi bahasa dan nilai-nilai murni merupakan
agenda utama negara dalam menuju kemajuan.
Natijahnya,
pembentukannya yang bertujuan bagi menyemarakkan dan menyemai semula nilai –
nilai murni dan budi bahasa agar menusuk ke dalam jiwa rakyat Malaysia. Dengan
itu, saya cerakinkan kepada tiga wasilah nirmala yang menjadi signifikan buat
tatapan minda kita semua.
Hadirin
hadirat pencetus kulasentana berkaliber lagi berkarisma,
Berpaksikan cetusan idea saya yang
major, budi bahasa budaya kita pemacu perpaduan ummah. Perpaduan ummah
sangat relevan dengan budi bahasa budaya kita. Hal ini kerana masyarakat yang
berbudi bahasa akan saling menghormati tidak kira apa-apa jua warna kulit
ataupun status individu tersebut. Apabila wujud sikap saling menghormati,
masyarakat akan dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan gembira walaupun
hidup dengan masyarakat yang berbeza budaya, adat dan kepercayaan. Dalam pada
itu, perselisihan faham antara kaum atau rusuhan kaum seperti peristiwa 13 Mei
1969 dapat dielakkan. Ulang tahun kemerdekaan yang ke-51 iaitu pada tahun 2008
yang bertemakan ‘Perpaduan Teras Kejayaan’ jelas menunjukkan pentingnya
perpaduan kaum dalam negara kita yang terdiri daripada rencaman bangsa. Pepatah
ada menyatakan ‘Bersatu teguh, bercerai roboh’. Justeru apabila masyarakat
bersatu, negara dapat berkembang dengan maju dan anasir-anasir luar tidak dapat
menggugat kestabilan negara dengan mudah. Nah sudah terang lagi bersuluh, budi
bahasa budaya kita wadah perpaduan ummah.
Warga
dewan sidang pendengar yang dihormati Allah,
Meniti
isi lembayung saya yang kedua, budi bahasa budaya kita pencetus modal insan
kelas pertama. Pembangunan modal insan sangat berkait rapat dengan budi
bahasa budaya kita. Hal ini kerana dengan budi bahasa inilah dapatkan
mengukuhkan jati diri watan – watan yang bakal mengambil alih tampuk kepimpinan
negara. Individu yang berbudi bahasa juga akan memperolehi pelbagai
kemaslahatan, antaranya mudah didampingi oleh orang lain. Hal ini kerana
individu yang berbudi bahasa sentiasa lemah lembut dan bersopan santun dalam
pertuturan dan perlakuan. Mereka juga tidak akan mengeluarkan kata-kata yang
kesat atau kata-kata yang menyakitkan hati. Justeru, mereka tidak akan
menyinggung perasaan orang lain. Sebaliknya, mereka akan dihormati dan
disenangi oleh orang lain. Hal ini akan turut menjaga nama baik dan maruah
individu tersebut dan keluargannya kerana sifat-sifatnya yang mulia itu.
Izharnya, budaya berbudi bahasa perlulah disemai oleh ibu bapa dalam diri
anak-anak sejak dari kecil lagi bagai melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Dengan ini, aspirasi negara untuk melahirkan masyarakat madani yang berbudi
bahasa menjelang tahun 2020 akan dapat direalisasikan. Jelaslah bahawa budi
bahasa budaya kita cerucuk aula modal insan kelas pertama.
Kuluwangsa
bestari lagi berintegriti,
Bertitik tolak dari situ, budi bahasa budaya kita
konstituen penyubur nilai – nilai murni menjadi wasilah nirmala saya
yang terakhir. Hal ini kerana nilai – nilai murni dapat dicerna melalui budi
bahasa budaya kita ini. Nilai budi bahasa penting dalam kehidupan untuk
melahirkan insan yang berakhlak mulia. Iman al-Ghazali mengatakan “apabila kamu
hendak mengenali wajah lihatlah pada cermin, tetapi apabila kamu hendak
mengenali diri lihatlah pada wajah”. Kata-kata tersebut mengambarkan betapa
keperibadian dan akhlak mulia menjadi tali pengukur kepada setiap individu. Sesungguhnya
berakhlak mulia amat dituntut dari sudut budaya, peradaban dan agama kita.
Amalan nilai-nilai murni dapat membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani,
emosi, rohani dan intelek. Kini, bilangan pelajar di negara kita sejumlah 5
juta orang, jika tidak diterapkan dengan nilai – nilai budi bahasa sejak di
bangku sekolah nescaya mereka akan menjadi generasi yang akan merugikan negara
pada masa kelak. Ingatlah bahawa falsafah hidup yang bertunjangkan budi bahasa
pada diri akan mencerminkan suasana kehidupan yang harmoni di Malaysia.
Izharnya, budi bahasa budaya kita sebagai medium pencorak nilai – nilai murni.
Tak tumbuh tak melata, tak sungguh saya tak kata.
Kulasentana
berwibawa lagi berkarisma,
Sebagai akhirul kalamnya,
berteraskan tiga wasilah nirmala kata yang telah saya perjelaskan sebentar tadi
melalui signifikannya, yakni budi bahasa budaya kita pemacu ummah, budi bahasa
budaya kita pencetus modal insan kelas pertama dan akhirnya budi bahasa budaya
kita penyubur nilai – nilai murni. Dengan ini memperjelaskan bahawa budi bahasa
budaya kita merupakan leluhur negara dan tonggak entiti mithali di marcapada
dunia. Ayuh kita sama – sama merealisasikan
dan melestarikan aspirasi murni ini agar Kempen Budi Bahasa Budaya Kita
menjadi realiti bukan fantasi. Tepuk dada tanyalah selera, tepuk dahi tanyalah
minda. Pujangga Melayu selalu berpesan,
Tegak rumah kerana
sendi,
runtuh sendi rumah
binasa,
tegak bangsa kerana
budi,
runtuh budi
runtuhlah bangsa.
Jinak sungguh
burung merpati,
Terbang rendah hala
ke desa;
Molek pekerti
cerminan hati,
Indah bahasa budaya
bangsa.
Dedap merah cantik berseri,
Runtun jiwa kayangan puteri,
Silap dan salah merenung diri,
Ampun dipinta menyusun jari.
Salam perpaduan, salam ukhuwah,
salam integriti dan salam 1 Malaysia.
Sekian....wabil...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan